~aHLAN WA SAHLAN~

Showing posts with label ~JoDoH~. Show all posts
Showing posts with label ~JoDoH~. Show all posts

Monday, January 11, 2010

~MaHaR HaNTaRaN: ADaT vs IBaDaT~



''Jangan nak mengada-ngada, kalau hendak kahwin tunggu dia habis belajar, ada rumah, ada kerja, dan ada kereta. Kalau tak, selagi tu jangan harap mahu kahwin” Meleter si ibu kepada anak daranya yang sudah sampai masa mendirikan rumahtangga..

“Hantaran kena sembilan dulang, RM1000 serba satu. Kenduri buat di hotel lima bintang, siap dengan siaran eksklusif dari tv10” Ayat-ayat yang biasa didengar.

Tergaman dibuatnya.

*****************************************************************************


Masyarakat kita sekarang terbelenggu dengan masalah suka mengubah sesuatu ibadah menjadi adat dan budaya yang mendarah-daging. Kadang-kadang sesuatu yang mudah pada asalnya, tiba-tiba menyulitkan keadaan yang mana melahirkan banyak kesan samping yang membimbangkan.

Isunya yang diutarakan, ibu bapa sanggup menjual anak perempuan semata-mata kerana keadaan sekeliling memaksa bukannya menitikberatkan keperluan syari‘at tersebut. Yang hendak kahwin si anak, banyak pula karenah ‘birokrasi’ daripada ibu bapa.

Hikmahnya ditinggalkan.

Apabila acuan material terbentuk di dalam minda masyarakat, mahar hantaran menjadi tinggi sehingga membawa implikasi buruk kepada teruna dan dara. Si ibu memohon mahar yang tinggi seolah-olah menggali lubang durjana untuk anak gadis mereka dan diri sendiri.

Di Malaysia, mahar (mas kahwin) rasanya tidak susah nak dipenuhi. Tapi hantaran yang boleh buat turun berat badan kerana terpaksa mengikat perut. Daripada pengalaman melihat dan mendengar, kadangkala harga hantaran diletak tinggi dengan sengaja bukan kerana keperluan tetapi sindrom ‘segan’ kepada orang sekeliling.

Bagai terlupa perkahwinan bukan satu hari hanya di hari kenduri sahaja, tapi sampai detik nyawa terpisah daripada jasad, semua ini dipandang remeh. Kehidupan selepas kahwin juga memerlukan akaun kewangan kukuh.



JANGAN ADATKAN IBADAT

Allah Taala berfirman yang bermaksud: “Dan kahwinkanlah orang-orang bujang diantara kamu dan orang-orang yang layak berkahwin dari hamba yang lelaki dan hamba perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memampukan (menjadikan kaya) mereka dengan kurnia-Nya. Dan Allah Maha Luas pemberiannya lagi Maha Mengetahui” an-Nur (24:32)

Bagi wanita yang mempunyai kesedaran dan mampu mempertahankan prinsip ajaran sabda Nabi s.a.w maka perlulah buktikan bahawa mereka mampu melawan adat.

Sayang sekali, kita asyik ulang kalimah melawan arus adat, tetapi jarang kita ambil pegangan mengikut pegangan agama. Mahar yang sedikit bukan merendahkan martabat, malah meninggikan martabat seseorang wanita di sisi agama.

Bayangkan pahala dan jaminan keberkatan yang didapati sehari demi sehari sebaik sahaja terlafaznya akad nikah dan bergelar isteri. Urusan tambahan hadiah dan wang hantaran yang membebankan pihak lelaki yang menyediakan dan juga pihak wanita yang menunggu perlu ditangani.

Kenapa tidak ditukar pemberian hadiah ini setelah berkahwin, satu bulan satu hadiah sebagai pengikat kasih sayang di antara suami isteri. Tidak perlu mahal, asalkan ikhlas dan berterusan. Biar pun kita tidak mempunyai peruntukan untuk menetapkan kadar maksimum mahar, setiap ibu bapa terutamanya ibu harus sedar bahawa mahar itu adalah hadiah suami kepada isteri, dan bukannya harga yang ditebus oleh seorang lelaki bagi mendapat seorang perempuan dari ibu dan bapanya.

Mahar bukan harga jualan.

Jangan adatkan sesuatu ibadah, nanti jenuh untuk lunaskan. Jangan terkejut jika ada ternampak warga ‘terlajak’ umur antara lingkungan 40-45 tahun yang menolak stroller di taman-taman rekreasi, pasar raya kerana menunggu lama simpanan penuh sebelum dapat kahwin.



TERBITNYA MASALAH LAIN

Sebenarnya masalah couple atau maksiat hati, mata dan sebagainya bukanlah masalah pokok, masalah ini terbit dari masalah yang lain.

Apabila budaya kita yang mempersulitkan bangsanya untuk mendirikan masjid, dengan hantaran dan mas kawin yang mahal-mahal, sehinggakan dengan belanja kahwin seseorang itu mampu memiliki sebuat rumah maka tidak hairanlah ramai yang berbondong memilih untuk bercouple dahulu.

Berjuang untuk memudahkan urusan perkahwinan juga merupakan suatu ibadah, secara tidak langsung menutup satu alasan kenapa perlu bercouple.

Umumnya di barat pergaulan bebas dan seks sebelum perkahwinan adalah satu budaya yang lumrah dan bukan lagi rahsia. Malah, sesuatu yang janggal sekiranya seseorang itu masih dara setelah berusia tujuh belas tahun. Mereka lebih suka jika isterinya sudah ada pengalaman seks sebelum berkahwin supaya tidak perlu dia mengajarkannya lagi apabila mereka berkahwin nanti.

Jangan kita lupa, masyarakat di negara kita pun sekarang tidak jauh bezanya. Menghalakan pergaulan bebas, berpelesaran lelaki dan perempuan. Tidak mustahil gejala seks bebas tidak pernah berlaku.

Tugas berat ini terletak di bahu kita sekarang sebagai ad-Da’ie. Mulakan di kampus pengajian kita, tempat kerja untuk mengubah suasan tidak sihat ini. Alhamdulillah, inilah kemuliaan mukmin yang mendamba sakinah, mawaddah dan rahmah melalui ikatan perkahwinan. Mudah-mudahan mahar dan hantaran mahal tidak akan menjadi musibah merbahaya yang akhirnya membawa kepada kehancuran nilai-nilai murni dalam masyarakat seperti di atas.

Moralnya, jangan adatkan sesuatu ibadah.




aFiNiEy AhMaD:

"Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

" Sebaik-baik maskahwin ialah yang lebih rendah ". ( Riwayat Abu Daud )

" Sesungguhnya yang besar berkat nikah ialah yang sederhana belanjanya ". ( Riwayat Ahmad ) "

Tuesday, December 29, 2009

~CiRi-CiRi ZaUj PiLiHaN~



KASIH manusia sering bermusim,
Sayang manusia tiada abadi.
Kasih Tuhan tiada bertepi, sayang Tuhan janji-Nya pasti.

ITULAH sedikit dari bait-bait lagu Raihan. Lantaran kasih manusia yang sering bermusim dan sayangnya yang tidak kekal lama, kita perlu sentiasa berwaspada terutamanya dalam memilih pasangan. Andainya sedikit daripada cinta itu hendak diberi pada seseorang yang boleh digelar suami, secara ringkas pilihlah seorang lelaki yang…

• Kuat agamanya
Biar sibuk sekalipun, solat fardu tetap terpelihara. Utamakanlah pemuda yang taat pengamalan agamanya. Lihat saja Rasulullah menerima pinangan Saidina Ali buat puterinya Fatimah. Lantaran ketaqwaannya yang tinggi biarpun dia pemuda paling miskin. Utamakanlah pemuda yang jujur membimbing dan memelihara iman anda.

• Baik akhlaknya
Ketegasannya nyata tetapi dia lembut dan bertolak-ansur hakikatnya. Sopan tutur kata gambaran peribadi dan hati yang mulia. Rasa hormatnya pada warga tua ketara. Mudah di bawa berbincang. Tidak terlalu berahsia.

• Tegas mempertahankan maruah
Pernahkah dia menjengah ke tempat-tempat yang menjatuhkan kredibiliti dan maruahnya sebagai seorang Islam? Adakah dia jujur sebagai pelindung maruah seorang perempuan?

• Amanah
Jika dia pernah mengabaikan tugas yang diberi dengan sengaja ditambah pula salah guna kuasa, lupakan saja si dia.

• Pemurah tetapi tidak boros
Dia bukanlah kedekut tapi tahu membelanjakan wang dan harta dengan bijaksana. Setiap nikmat yang ada dikongsi bersama mereka yang berhak.

• Tidak liar matanya
Perhatikan apakah matanya kerap meliar ke arah perempuan lain yang lalu-lalang ketika berbicara. Jika ya jawabnya, dia bukanlah calon yang sesuai buat kamu.

• Terbatas pergaulan
Sebagai lelaki dia tahu dia tidak mudah jadi fitnah orang, tetapi dia tidak mengamalkan cara hidup bebas.

• Rakan pergaulannya
Rakan2 pergaulannya adalah mereka yang sepertinya. Sebaik-baik teman adalah teman yang soleh.

• Bertanggungjawab
Rasa tanggungjawabnya dapat diukur kepada sejauh mana dia memperuntukkan dirinya untuk ibu bapa dan ahli keluarganya. Jika ibubapanya hidup melarat sedang dia hidup hebat, nyata dia tidak bertanggungjawab.

• Tenang wajah
Apa yang tersimpan dalam sanubari kadang2 terpancar pada air muka. Wajahnya tenang, setenang sewaktu dia bercakap dan bertindak.

Berbahagialah kamu jika dicintai calon yang demikian sifatnya.


Sumber: http://nurjeehan.wordpress.com/2007/01/11/ciri-ciri-suami-pilihan/

aFiNiEy AhMaD: “ Jadi pilihlah yg tbaik untukmu di dunia & di akhirat wahai mujahidah-mujahidah Islam..(^_~) "

Thursday, December 24, 2009

Adab Pertunangan / Mukaddimah Walimah



Pertunangan merupakan mukaddimah kepada perkahwinan. Ianya diharuskan di dalam islam bagi memberi peluang kepada si lelaki atau perempuan untuk mengenali pasangan masing -masing dengan lebih dekat lagi.Tempoh pertunangan ini juga merupakan masa bagi seseorang itu untuk membenihkan roh persefahaman ikatan kasih sayang dengan pasangan masing -masing ke arah melahirkan sebuah mahligai keluarga yang bahagia.

Adapun adab-adab semasa bertunangan (ianya melibatkan kedua-dua belah pihak samada lelaki atau perempuan) bolehlah dibahagikan kepada 2 bahagian :

a) Adab dalam bergaul

Maksud pergaulan di sini ialah pertemuan, perbincangan atau hubungan secara langsung antara si lelaki atau si perempuan dengan tunangan masing-masing.

Setiap pertemuan atau perbincangan itu hendaklah ditemani oleh muhram (si perempuan). Seboleh-bolehnya pertemuan itu diadakan di rumah si perempuan. Tidak diharuskan duduk berdua-duaan. Ingatlah hadis Rasulullah SAW : "Tidaklah seorang lelaki itu bersendirian dengan wanita melainkan ada orang yang ketiga iaitu syaitan".

Perbincangan itu mestilah sunyi daripada unsur nafsu dan syahwat.

Dalam keadaan menutup aurat sebagaimana yang telah digariskan oleh agama islam dan harus dingatkan bahawa aurat di antara keduanya adalah sama dengan aurat perempuan dengan lelaki ajnabi (muhram), hanya sekadar muka dan dua tangan sahaja.

Bagi pihak perempuan, janganlah bercakap terlalu manja dan menggoda.

Sementara bagi pihak lelaki janganlah merasakan bahawa anda telah mendapat milik mutlak dan boleh melakukan apa saja.

b) Tempoh pertunangan

Pada hakikatnya islam menggalakan agar tempoh pertunangan itu disingkatkan, ianya bagi mengelakkan daripada berlakunya sebarang fitnah atau berlakunya perkara- perkara yang tidak didugai dan ulamak sendiri tidak menetapkan tempoh tertentu pertungan, cuma rata-rata mereka lebih cenderung untuk memendekkan tempoh. Disini saya sendiri cenderung kepada mempercepatkan perkahwinan kerana:

Dalam tempoh pertunangan yang lama, dibimbangi tersingkapnya keaiban pasangan yang boleh membawa kepada putusnya hubungan pertunangan. Selain daripada itu, besar kemungkinan terdapat juga orang yang mungkin menaruh perasaan dengki kepada pasangan dan menabur fitnah yang tidak ada benarnya yang boleh membawa padah kepada pasangan itu sendiri.

Tempoh yang lama mungkin memberi peluang kepada orang lain yang mungkin ada menaruh hati kepada salah satu pasangan dan berusaha untuk memisah antara keduanya
Dibimbangi kedua pasangan banyak melakukan dosa disepanjang tempoh pertunangan dengan kerapnya mengadakan pertemuan yang tak syarie. Susah untuk menjaga batas aurat dan syarat ditemani oleh Muhram.

Lebih menenangkan gelodak jiwa dan perasaan rindu yang boleh mengganggu prestasi pelajaran dan juga kerja.




aFiNiEy AhMaD: "Renungilah..(^_~)"


Wednesday, October 21, 2009

~DoAkU~



Bismillahirrahmannirrahim..


Ya Rabbul Arifin,
Seandainya Kau telah takdirkan dia milikku,
Tercipta buatku,
Dekatkanlah hatiku dengan hatinya,
Tetapkanlah kemesraan antara kami,
Agar kebahagiaan ini kekal abadi..

Ya Muhaimin,
Seiringkanlah kami,
Mengiringi kehidupan luas ini,
Ketepian yang sejahtera..

Ya Rabbul Fatihin,
Seandainya dia telah Kau takdirkan bukan milikku,
Bawalah dia jauh dari pandanganku,
Luput dari ingatanku,
Dan peliharakanlah aku dari kecewa..


Ya Rabbul Izzati,
Berikanlah aku kekuatan,
Melontarkan bayangannya ke dada langit,
Hilang bersama senja merah,
Agar aku bisa bahagia,
Walaupun tanpa dirinya..

Ya Rabbul Qudus,
Gantikanlah yang telah patah,
Meskipun tidak sama dengan dirinya,
Biar sekuat mana aku mengasihinya,
Aku mohon kepadaMu Ya Allah,
Agar melenyapkan perasaan ini,
Seandainya benar dia ditakdirkan bukan untukku..


Tetapi seandainya dia telah ditakdirkan untuk diriku,
Aku mohon kasih dan sayang Mu Ya Allah,
Agar memperkuatkan kasih sayang ku padanya,
Selagi mana tidak melebihi kasih sayangku pada Mu..

Ya Rahman Ya Rahim,
Cukuplah Engkau sahaja menjadi pemeliharaku,
Di dunia dan akhirat,
Dan peliharalah kami dari azab api neraka.
Amin...


aFiNiEy AhMaD: "Takkan kau rasai indahnya cinta andainya tiada cinta buat Yang Maha Esa.." (^_^)

Saturday, August 01, 2009

~DiJoDoHkaN di SyUrGa~

"Bersumber dari Raja’ bin Umar An-Nakha’i, dia pernah bercerita: “Dahulu di kota Kufah tinggallah seorang pemuda tampan rupawan yang tekun dan rajin beribadat, dan dia termasuk salah seorang ahli zuhud. Suatu hari pemuda itu singgah di kalangan kaum An-Nakha’ dan di sana dia bertemu dengan seorang gadis yang cantik. Sejak melihatnya pertama kali, dia pun jatuh hati dan tergila-gila oleh kecantikannya. Demikian juga si gadis yang merasakan hal serupa sejak pertama melihat pemuda itu. Si pemuda lalu mengutus seseorang untuk meminangnya, tetapi ternyata gadis tersebut telah dipertunangkan dengan putera bapa saudaranya.

Mendengar keterangan ayah si gadis itu, mereka berdua menahan beban cinta yang sangat berat. Si gadis tadi kemudian mengutus seorang hambanya untuk menyampaikan sepucuk surat kepada pemuda tambatan hatinya: “Aku tahu betapa engkau sangat mencintaiku, dan kerananya, betapa besar penderitaanku terhadap dirimu sekalipun cintaku tetap untukmu. Seandainya engkau berkenan, aku akan datang berkunjung ke rumahmu atau aku akan memberikan kemudahan kepadamu bila engkau mahu datang ke rumahku.”

Setelah membaca isi surat tersebut, si pemuda kacak itu pun berkata kepada utusan wanita pujaan hatinya, “Kedua tawaran itu tidak ada satu pun yang kupilih! Sesungguhnya aku takut akan seksaan hari yang besar bila aku sampai derhaka kepada Tuhanku. Aku juga takut akan neraka yang api dan jilatannya tidak pernah surut dan padam.”

Pulanglah utusan kekasihnya itu dan dia pun menyampaikan segala yang disampaikan oleh pemuda itu. Si gadis lalu berkata, “Selamanya aku belum pernah menemui seorang yang zuhud dan selalu takut kepada Allah SWT seperti dia. Demi Allah, tidak seorang pun yang layak mendapatkan gelaran kemuliaan kecuali dia, sedangkan kebanyakan orang adalah munafik.”

Setelah berkata demikian, gadis itu lalu melepas segala urusan duniawinya serta membuang jauh-jauh segala sesuatu yang berkaitan dengan dunia. Dia pun memakai pakaian dari tenunan kasar dan sejak itu tekun beribadat, sementara hatinya merana, badannya juga kurus oleh beban cintanya yang besar kepada pemuda yang dicintainya. Dan kerinduannya yang mendalam menyelimuti sepanjang hidupnya hingga akhir hayatnya.

Setelah gadis itu meninggal dunia, sang pemuda sering pula berziarah ke makamnya. Pada suatu ketika dia bermimpi seakan-akan melihat kekasihnya dalam keadaan yang sangat menyenangkan. Pemuda itu pun bertanya, “Bagaimana keadaanmu dan apa yang kau dapatkan setelah berpisah denganku?”

Gadis kekasihnya itu menjawab dengan menyenandungkan untaian syair: Kasih...
cinta yang terindah adalah mencintaimu,
sebuah cinta yang membawa kepada kebajikan.
Cinta yang indah hingga angin syurga berasa malu
burung syurga menjauh
dan malaikat menutup pintu.
Mendengar penuturan kekasihnya itu, pemuda tersebut lalu bertanya kepadanya, “Di mana engkau berada?”
Kekasihnya menjawab dengan melantunkan syair:
Aku berada dalam kenikmatan
dan kehidupan yang tiada mungkin berakhir
berada dalam syurga abadi yang dijaga oleh para malaikat
yang tidak mungkin binasa
yang akan menunggu ketibaanmu, wahai kekasih
Pemuda itu kembali berkata kepada kekasihnya, “Di sana aku mohon agar engkau selalu mengingatiku dan sebaliknya aku pun tidak dapat melupakanmu!”

“Dan demi Allah, aku juga tidak akan melupakan dirimu. Sungguh, aku telah memohon untukmu kepada Tuhanku juga Tuhanmu dengan kesungguhan hati, sehingga Allah berkenan memberikan pertolongan kepadaku!” jawab gadis kekasihnya itu.

Pemuda itu kembali berkata kepadanya, “Bila aku dapat melihatmu kembali?”

“Tak lama lagi engkau akan datang menyusulku kemari,” jawab kekasihnya.

Tujuh hari sejak pemuda itu bermimpi bertemu dengan kekasihnya, ia meninggal dunia. Semoga Allah sentiasa mencurahkan kasih sayang-Nya kepada mereka berdua dan mempertemukannya kembali di syurga.."

aFiNiEy aHmAd: Kita tdk blh mencintai orang lain sblm kita mencintai diri sendiri & kita tdk boleh mencintai diri sendiri sblm kita mencintai ALLAH SWT..(^_~)

~AkHaWaTi wa IkHwAni~